Sunday, May 8, 2011

YANG TERAKHIR BUAT MAMA

SEMUA tengah sibuk dengan kerja masing-masing. Peluh yang meleleh di dahi dan pipi, pantas diseka dengan hujung lengan baju. Along daripada tadi sibuk meracik bawang merah, bawang putih, halia dan lengkuas. Yang Angah pulak tak berhenti daripada tadi blend cili kering yang sudah siap direbus. Dan aku pulak daripada tadi asyik menghembus! Api daripada tadi tak menyala! Haaiiih….satu badan dah bau asap, tapi api ciput tak ada lagi!
            “Adik! Api dah menyala ke belum?” Jerit Along daripada muka pintu dapur.
            Aku yang sedang bertenggong segera memusingkan kepala ke belakang melihat Along yang sedang berdiri sambil bercekak piggang. Macam Tuan Besar pulak mak cik sorang ni. “Belum lagilah! Payah betul nak hidupkan api ni!”
            “Cepat sikit! Along dengan Angah nak siap dah ni.”
            “Yelah! Yelah!” Aku mencebik. Kalau bab-bab mengarah orang ni Along memang nombor satu! Aku bangun sambil menggeliat. Melepaskan lelah yang telah hampir dua jam aku tanggung. Daripada redup pagi tadi sampailah matahari mula memancar, asap ajelah daripada tadi. Api ciput pun tadak! Aku menoleh ke kanan melihat Mama yang sedang duduk di atas kerusi rotan sambil membaca buku 101 Rekreasi Hati. Hasil bersama Dr. Zahazan Mohamed dan juga Nik Wafdi Nik Jaafar. Pelik aku dengan Mama sejak dua,tiga hari ni. Kelmarin, beriya-iya telefon kami tiga beradik suruh balik on the spot! Katanya ada hal penting. Penting sangat sampai tak boleh nak ceritakan dalam telefon. Siap suruh ambil cuti lagi! Kitorang pun apa lagi! Semuanya pakat gelabah gila nak mati! Mana taknya! Tak pernah-pernah Mama telefon dengan suara cemas macam tu. Siap request lagi suruh balik cepat dan ambil cuti.
            Elok je lepas off handphone, aku terus pecut pergi bilik bos. Minta cuti. Mula-mula tu jangan haraplah bos mafia tu nak bagi. Tapi dah lepas aku berlakon air mata berdarah depan dia, barulah dapat. Takut jugak bos aku tu bila aku menangis teresak-esak depan dia. Hahahaha…padan muka dia! Yang si Along dengan Angah lagi senang. Pergi klinik swasta, ambil MC terus! Yang si Along cakap dia sakit perut sebab senggugut. Angah pulak cakap dia sakit hati! Hahahahaha…mati-matilah doktor tu percaya! Siap nak buat ECG lagi untuk dia. Lepas semua dah siap-siap, Along, Angah dan aku masing-masing terus pecut mengalahkan pelumba F1. Baik, dari Johor, Perak dan Selangor, entah macam mana boleh pulak serentak sampai pukul 9 malam kat Temerloh ni. Bila dah balik, semuanya ternganga sebab tengok Mama elok je tengah tengok TV. Siap tengok CSI lagi kat Astro. Hampir terduduk jugaklah kitorang dibuatnya.
            “Adik…api tu dah menyala ke belum?”
            Pertanyaan Mama menyebabkan aku kembali tersedar. Aku memandang Mama yang masih lagi sedang memegang buku yang dibacanya. “Belum lagi. Mama, kenapa kita tak guna aje dapur gas tu? Kan senang?”
            Mama meletakkan buku yang dibacanya di atas meja di sebelah. Dia mengangkat kening sambil tersenyum. “Masak guna dapur ‘original’ kan lagi best! Lagi sedap rasanya.”
            Baru saja aku ingin membuka mulut, Mama terlebih dahulu menghalang. “Hah, daripada bercakap baik Adik cuba nyalakan api tu. Along dengan Angah dah nak siap tu.”
            Terus aku terdiam. Aku kembali bertenggong sambil mengeluh. Terasa malas dan penat mahu nyalakan api ni. Aku melihat pintu stor yang sedikit terbuka. Daripada situlah aku membawa keluar segala perkakas yang diperlukan untuk memasak pada hari ini. Lantas aku kembali ke dalam stor untuk mencari minyak gas. Mana tahu kalau nasib baik, jangankan sebotol, tapi berbotol-botol minyak gas aku boleh jumpa nanti! Puas memunggah, dan habis barang-barang berterabur aku kerjakan, akhirnya usaha membuahkan hasil. Terus aku tersenyum lebar apabila terjumpa sebotol minyak gas yang masih lagi penuh isinya. Dengan sepantas kilat, aku berlari keluar sambil membawa botol itu.
            Tanpa berlengah lagi, terus aku buka penutup botol itu lalu tuangkan minyak gas ke atas kayu-kayan di hadapan.
            “Adik…terbakar rumah ni siaplah.”
            Aku memandang sambil tersengih. Terus aku berhenti daripada ‘siram’ minyak gas ke atas kayu-kayan tadi. Aku nyalakan api mengggunakan sebatang mancis, dan terus aku campakkan kehadapan. Fiusssh!!!! Api terus marak menyala. Aku mengundur sedikit ke belakang sambil bercekak pinggang. Aku mendongak ke langit sambil mendepakan tangan lalu menjerit, “I am the King!!!! King of fire!!!
            Paappp!!! “Adoi!!!” Aku menjerit seraya menggosok-gosok belakang badan.
            “Gila ke apa menjerit tengah hari buta ni?”
            Aku mencebik apabila melihat Along dan Angah yang sudah pun siap dengan semua bahan-bahan untuk memasak rendang ayam kegemaran Mama. “Dengkilah tu. Pantang tengok orang berjaya sikit, mesti nak sakit hati.” Aku melawak dengan Along.
            Eleh, takat nak hidupkan api tu, pejam mata aje Along boleh buat tau. Dulu, waktu Adik kecil lagi, Alonglah yang hidupkan api ni tau kalau Mama nak masak kat luar.”
            Eleh, boleh caya ke?”
            “Eh, tak caya tanya angah.” Along dan aku memadang Angah. Kemudian Angah mengangguk-angguk sambil tersengih.
            “Hah, kan betul!”
            Elllllllleh!” Aku mencebik.
            “Kalau dah daripada tadi bergaduh bilalah masanya rendang tu nak siap masak? Ni dah tengah hari dah ni.”
            Serentak kami bertiga memandang ke arah Mama yang masih lagi sedang duduk dengan pandangannya tidak beralih daripada buku yang disambung baca tadi.
            “Baik bos!!!!” Sahut kami bertiga sambil menabik kepada Mama. Lantas terus meledak ketawa kami semua. Dalam diam, Mama juga turut tersenyum sambil menahan ketawanya.
            Along, yang lebih pandai dalam bab-bab memasak ni menjadi ketua pada hari itu. Selalunya Mama yang mengarah itu dan ini dan melihat kami bertiga membuat kerja, tapi entah mengapa kali ini Mama lebih senang hati untuk duduk saja. Katanya dia serahkan semua tugas kepada kami semua. Dia hanya mahu makan saja. Puaslah kami bertiga merayu-rayu supaya Mama yang mengetuai kami bertiga seperti biasa, tapi Mama tetap dengan keputusannya. Kata Mama sedap atau tidak lain cerita. Apa yang penting dia teringin sangat nak makan rendang ayam hasil air tangan anak-anaknya.
            Sekali lagi kami bertiga ternganga dengan kehendak Mama. Selalunya rendang ayam akan dibuat pada Hari Raya saja. Tapi, sekarang baru bulan April. Puasa pun belum lagi. Puas kami bertanya kenapa Mama tiba-tiba nak makan rendang ayam, jawab Mama mudah saja, “Anggap saja ni hadiah Hari Ibu untuk Mama pada tahun ni.” Mahu saja aku tersungkur dnegar jawpan Mama. Tak pernah-pernah Mama demand hadiah untuk Hari Ibu dan juga Hari Lahir, tapi sekarang ni tiba-tiba je mintak? Dulu kalau tanya Mama nak apa, bukan main susah lagi Mama nak beri jawpan. Bila ditanya, Mama mesti jawab, “Tak kisah hadiah apa-apa pun”. Ataupun, “Tak ada hadiah pun tak apa asalkan anak-anak Mama sentiasa doa dan ingatkan Mama.” Itulah ajwpaan yang sama setiap tahun kami terima. Alih-alih kitorang beli hadiah yang kitorang lepas tu hadiahkan kat Mama. Hehehehe…
            “Adik, orang suruh jaga apilah, bukan suruh berangan.”
            Aku mendongak memandang Angah sambil tersengih. “Sorry ah....
            Angah melihat minyak di dalam kuali. “Minyak macam dah panas je Along?”
            Along mengintai minyak di dalam kuali besar itu kemudian dia mengangguk-angguk. “Mana resipi Mama?”
            Angah mengangkat tangan sambil memegang dua helai kertas putih ke arah Along. “Angah baca cara-caranya kat Along.”
            Angah mengangguk lalu dia pun mula membaca langkah demi langkah cara mahu membuat rendang ayam mengikut resipi Mama. Daripada awal sampailah sekarang kami bertiga tak henti-henti membaca Bismillah agar bila Mama makan rendang ni mintak-mintaklah tak termuntah. Ataupun sakit perut!
            Dari kerusinya, Mama menjelijng melihat anak-anaknya. Bibirnya menguntum senyum apabila melihat tiga orang anak gadisnya yang kini sudah pun meningkat dewasa. Air matanya jatuh setitis demi setitis kerana gembira dan sayu melihat anak-anak kesanyangannya.
MALAM ini sekali lagi Mama buat permintaan pelik. Dia nak kami bertiga tidur dengannya di ruang tamu beramai-ramai. Kami bertiga berpandangan di meja makan tadi sewaktu menikmati nasi putih berlaukkan rendnag ayam dan sayur masak lemak. Sayur tu pun Mama nak kami juga yang masak.
            “Kenapa pulak nak tidur sama-sama Mama?” Angah bertanya sambil mengangkat kening.
            “Mama nak tidur dengan anak Mama takkan tak boleh kot?”
            “Bukan tak boleh, tapi Mama asyik minta benda pelik-pelik je. Cuba Mama cakap dengan kitorang semua apa yang Mama tengah fikirkan sekarang ni?” Along pula mencelah.
            “Ini ajelah permintaan terakhir Mama. Mama nak anak-anak Mama tidur sama-sama malam ni kat ruang tamu. Boleh?”
            Kami bertiga berpandangan. Dalam hati masing-masing dah faham sangat dengan perangai Mama. Kalau Mama tak nak beritahu sebabnya, maknanya jangan haraplah kami akan dapat tahu. Lantas terus kami bertiga mengangguk patuh.
            Dan akhirnya, setelah penat memasak rendang ayam tengah hari tadi, dan sambil baring-baring kami bersembang tentang macam-macam perkara. Kenangan sewaktu kecil hinggalah sekarang dikupas balik ceritanya satu-persatu sambil diselangi dengan gelak tawa sehingga masing-masing sakit perut.  Bila malam sudah semakin larut, tanpa sedar mata terus terlelap. Aku dan Angah tidur mengapit Mama sementara Along tidur di sebelah Angah.
            Mama bangun seorang diri perlahan-lahan di tengah-tengah malam sambil mengusap lembut kepalaku. Kemudian dia membelai pula rambut Angah. Dia melihat Along yang tidur di hujung, hanya tangannya saja yang berjaya di capai. Lantas Mama mengelus lembut jari-jemari runcing Along. Selepas itu, Mama mengucup dahi kami bertiga sebelum berlalu pergi ke biliknya meniggalkan kami bertiga yang sedang lena diulit mimpi.
            Deringan jam loceng mengejutkan Along dan aku sementara Angah seperti biasa masih lagi tidur mati. Along yang masih lagi mamai teraba-raba mencari jam loceng tadi lalu terus ditutupnya menyebabkan deringan jam tadi terus senyap. Aku menggeliat lalu menutup mulut kerana menguap.
            “Angah….banguuuun~” Along kejutkan Angah sambil mata masih lagi terpejam biarpun dia tengah bersila pada waktu itu. “Bangunlah….” Kejut Along lagi setelah tiada respon daripada Angah.
            Along membuka matanya. Dia mengambil bantal peluknya lalu terus di hempuk badan Angah dengan bantal tadi! Dan ajaibnya Angah masih lagi tidur mati.
            “Ya Allah budak ini! Aku lempar dengan bom atom baru nak bangun agaknya?”
            Aku ketawa mengekek melihat Angah yang tidak bergerak seinci pun. Aku terus bangun, malas mahu melayan kerenah Along dan Angah. Sekejap lagi azan Subuh akan berkumandang, baik mandi dulu, lepas sembahyang nanti boleh bertadarus dengan Mama macam dulu-dulu. Dah lama tak bertadarus dengan Mama, entah kenapa pagi ni tiba-tiba teringin pulak rasanya. Sewaktu melintas di depan bilik Mama, aku terlihat Mama yang bertelekung sedang terbaring di atas sejadah daripada celah daun pintu. Aku mengangkat kening pelik. Sambil berjalan menuju ke bilik Mama, rambut yang kusut aku ikatkan sekemas yang boleh. Perlahan-lahan daun pintu aku tolak. “Mama?” Panggilku perlahan. “Mama!” Panggilku lagi kali ini sedikit kuat.
            Hati aku tiba-tiba berdebar. Peluh dingin cepat saja membasahi belakang badan aku. Perlahan-lahan aku berjalan ke arah Mama yang sedang berbaring mengiring itu menyebabkan aku hanya dapat melihat belakang badannya. “Mama!” Panggilku lagi tanpa henti. “Mama! Janganlah buat Adik risau.” Masih lagi tiada jawpaan daripada Mama. “Mama!”
            Dengan penuh berhati-hati aku duduk di sebelah Mama. Tanganku menggeletar apabila ingin menyentuh badan Mama. Mataku sudah mula berair. Hati aku berdegup kencang. Seluruh tubuhku terasa dingin. Perlahan-lahan aku pusingkan tubuh Mama yang kaku itu. Apabila melihat wajah Mama yang tenang dengan matanya tertutup rapat, air mata terus merembes keluar. Inginkan kepastian, aku cuba periksa sama ada Mama masih lagi bernafas atau tidak. Dan apabila jawapannya sudah aku ketahui, semakin lebatlah air mata mengalir.
            Tersak-esak aku menangis di sisi Mama pada subuh itu. Terhinjut-hinjut bahuku kerana menangis. Air mataku mengalir tanpa henti….
IBU, hari ni nak pergi kubur arwah Tok Wan lagi? Macam tahun-tahun lepas yang kita selalu pergi tu?”
            Kami bertiga menoleh ke arah Iffah yang sedang tersengih sambil menjijit botol susunya. Berdiri di sebelahnya pula adalah sepupunya Farhan dan Sofia.
            Along tersenyum melihat anak bongsunya itu. Dia membelai rambut dengan lembut. “Ya, sayang. Hari ni kita nak pergi ziarah kubur arwah Tok Wan dan juga Tok Aki. Iffah ingat tak lagi doa yang ibu selalu suruh Iffah baca kalau kita ziarah kubur arwah Tok Wan dan Tok Aki?”
            “Ingat! A’an dengan Yaya pun ingat!” Laju Iffah menjawab sambil mengangguk. Kemudian dia menandah tangan diikuti oleh Farhan dan Sofia. Kemudian serentak mereka bertiga membaca doa kuat-kuat, “Ya Allah Ya Tuhanku, Kau ampunilah dosa-dosa Tok Wan dan Tok Aki. Kau berikanlah Rahmat ke atas Tok Wan dan Tok Aki. Kau berkatilah amal kebaikan Tok Wan dan Tok Aki. Amiiinnn…..”
            Terus Along, Angah dan aku mencium pipi setiap seorang daripada mereka.
            “Kami semua dah siap. Dah boleh pergi dah ni.”
            Aku menoleh apabila melihat Razlan, suamiku muncul di dapur sambil mendukung anak kami yang baru saja berumur setahun. Lantas aku terus memegang tangan Sofia lalu ku bawa ke arah Razlan sambil tersenyum ke arahnya.
            “Awak macam mana? Dah siap?” Soal Asri kepada Angah.
            Angah mendukung Farhan yang sedang menggigit puting itu lalu menuju ke arah pasangannya. Dia mengangguk sambil tersenyum.
            “Ibu, Nana, Nani dengan ayah dah siap. Ibu macam mana?”
            Along segera memegang tangan Iffah sambil memandang anak kembarnya yang sedang berdiri di sebelah ayah mereka. “Ibu, awal-awal lagi dah siap.”
            Serentak kami semua tersenyum. Terus, kami berjalan keluar daripada rumah sambil ditemani dengan takbir Hari Raya. Ditambah pula dengan suara jiran tetangga yang sednag bergembira dnegan kaum-kerabat mereka. Tidak dilupakan juga suara kanak-kanak yang ketawa gembira yang menghiasai suasana pada hari itu.
            Masih teringat lagi kata-kata Mama, ‘Ini ajelah permintaan terakhir Mama. Mama nak anak-anak Mama tidur sama-sama malam ni kat ruang tamu. Boleh?’
            Kami sikit pun tidak ambil perhatian pada perkataan ‘permintaan terakhir’ itu kerana kami sama sekali tidak menyangka ayat Mama itu menjadi kenyataan. Sesugguhnya, kalau kami tahu itu adalah malam terakhir kami dengan Mama, sama sekali kami tidak akan tidur, Kami akan terus berjaga menemani Mama sambil bergelak tawa dengannya. Kami akan sentiasa pegang tangannya kalau hari itu adalah hari terakhir kami akan dapat berpelukan dengannya. Kami akan menciumnya berjuta kali jika itu merupakan kali terkahir kami akan dapat menatap wajahnya yang tenang itu….

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 bila debab menconteng.... Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemesfree