Wednesday, May 11, 2011

HANYA SEORANG TUA

Hari ini saya bersarapan pagi di kedai mamak bersama-sama kakak saya dan juga kawannya. Saya makan roti canai biasa sementara mereka berdua makan mee goreng mamak. Sedang saya menikmati makanan kegemaran saya, perhatian saya tiba-tiba terganggu.
          Saya melihat di hadapan ada seorang pak cik tua yang sangat tua. Mukanya sudah berkedut seribu sementara percakapannya sukar difahami kerana giginya hampir semuanya gugur. Dia berjalan masuk ke dalam kedai itu seorang diri dengan memakai kopiah putih sambil tersenyum. Sesiapa saja yang dipandangnya akan dihadiahkan sebuah senyuman termasuklah kepada diri saya sendiri. Saya membalas senyuman pak cik itu.
          Pak cik itu mengambil tempat duduk sebaris dengan saya pada meja yang lain. Entah apa yang dipesannya, saya tidak pasti sehinggalah pesanan makanannya sampai. Kalau tidak silap saya, pak cik itu makan roti telur agaknya dengan teh tarik. Pandangan saya terus melekat pada pak cik itu.
          Hati saya sungguh sayu melihat pak cik itu menikmati sarapannya seorang diri. Hati saya tiba-tiba saja diserbu dengan perasaan sedih yang mendalam. Saya bergelut dengan perasaan saya sendiri. Puas saya pujuk diri ini tolonglah, jangan menangis…jangan menangis…
          Saya menjadi sedih bukan kerana apa, tetapi kerana saya teringat pada orang tua saya. Tiba-tiba saya menjadi rindu pada mereka berdua pada hal saya baru saja dua hari meninggalkan mereka. Ini kerana sekarang ini saya akan bekerja di tempat lain. Saya tidak lagi akan tinggal serumah dengan mereka mulai dari saat ini.
          Saya berfikir, bagaimana nanti keadaan ibu bapa saya? Adakah mereka akan berasa keseorangan seperti pak cik tadi? Bagaimanakah keadaan orang tua saya? Di saat itu hati saya meronta-ronta mahu balik! Mahu kembali kepada ibu bapa saya! Pelik bukan, saya merengek seperti anak kecil pada hal saya telah bersekolah asrama selama lima tahun. Kemudian ke pusat matrikulasi selama setahun. Selepas itu melanjutkan pelajaran selama tiga tahun yang beratus kilometer jaraknya dengan ibu bapa saya, tapi saya masih mahu duduk dengan ibu bapa saya.
          Ini kerana sepanjang saya duduk di asrama, pusat matrikulasi dan pusat pengajian tinggi, bermacam-macam pengalaman yang telah saya lihat. Rata-rata mereka yang rapat dan saya kenali pernah kehilangan ibu bapa tanpa sempat melihat wajah yang tersayang ‘pergi’ menghadap Ilahi.
          Pengalaman saya melihat mereka yang kehilangan ibu bapa adalah pengalaman yang paling ngeri buat saya. Masih tergambar lagi wajah sedih dan pilu mereka apabila setiap kali khabar kematian sampai ke telinga mereka. Ada yang terlalu sedih kerana tidak sempat berjumpa dengan ibu bapa mereka buat kali terakhir. Ada pula yang sangat menyesal tidak sempat memohon maaf. Ada juga yang menangis hingga berminggu-minggu lamanya. Berbulan-bulan dan bertahun-tahun juga ada.
          Banyak kisah yang menyedihkan pernah saya dengari. Antaranya ada sahabat saya yang kehilangan bapanya sewaktu sedang menghadapi peperiksaan SPM. Masih saya ingat lagi keadannya yang menangis diam-diam sewaktu menjawab soalan peperiksaan. Air matanya laju saja mengalir menyimbah Bumi sementara matanya mengahdap kertas soalan. Tangan kirinya menutup mulut menahan bunyi esak tangisnya sementara tangan kanan hanya memegang pen tidak bergerak daripada awal peperiksaan tadi.
          Ada juga yang sedang seronok ketawa sakan dengan kawan-kawan.Tetapi tidak lama selepas itu warden asrama naik ke dorm bersama-sama dengan ahli keluarganya memberitau yang ibunya telah selamat kembali ke rahmatullah. Terkedu dia di situ. Tadi dia sedang ketawa terbahak-bahak tetapi kini dia sedang menangis teresak-esak.
          Kisah lain pula ada yang ayahnya meninggal kerana mahu membeli telur buat makan tengah hari. Ada juga yang terlibat dalam kemalangan selepas ayah dan ibu mereka pulang dari melawat anak-anak mereka di asrama.
          Jadi, sekarang ini saya takut perkara itu akan menimpa saya. Kerana hidup dan mati itu di tangan Yang Maha Berkuasa. Mungkin saya yang akan ‘pergi’ dulu daripada ibu bapa saya. Di saat itu saya sungguh berharap dapat memohon ampun daripada mereka berdua. Saya juga berharap dapat mengucup mereka buat kali yang terakhir. Saya juga impikan dapat memegang tangan mereka seerat-eratnya hingga saya mengehmbus nafas yang terakhir.
          Sudahlah jasa ibu bapa secubit pun belum tentu lagi saya dapat membalasnya. Kini, saya dihimpit rasa bersalah, sedih, gelisah kerana berjauhan dengan mereka. Terasa lain sungguh setelah sekian lama saya tinggal dengan mreka kini saya terpaksa berjauhan dengan mereka semula. Satu perkara saja yang saya belajar sewaktu saya hidup berjauhan dengan mereka kerana sedang belajar. Iaitu, ibu bapa itu tiada gantinya. Saya sungguh berharap rezeki saya murah. Saya berdoa agar saya dapat kembali bekerja di tempat d mana ibu bapa saya sedang berada sekarang. Saya mohon agar permintaan saya ditunaikan oleh Allah.
          Saya betul-betul takut. Dan saya sangat-sangat sedih sekarang ini. Saya tidak tahu untuk buat apa lagi melainkan menangis bagi melepaskan perasaan. Biarpun tidak ada apa-apa yang berubah, tetapi setakat ini hanya itu saja yang mampu saya lakukan melainkan berdoa kepada Allah.
          Saya selalu berfikir sewaktu masih mentah bahawa jika ingin membalas jasa ibu bapa adalah dengan memberikan mereka duit. Tetapi, setelah saya mempunyai peluang untuk tinggal lama dengan ibu bapa saya, barulah saya sedar bahwa bukan duit yang mereka inginkan tetapi diri kita sendiri yang mereka ingin lihat. Kasih sayang dari kita yang mereka inginkan.
          Bermaca-macam yang saya fikirkan. Bagaimana makan minum ibu bapa saya? Siapa yang akan menggosok baju mereka memadnangakan ibu saya pun sudah semakin tua dia pun sudah tak larat lagi untuk menggosok. Siapa yang akan masak untuk mereka? Siapa yang akan mengemas dan menyapu rumah? Mop lantai? Basuh , sidai,angkat dan lipat baju? Mana mungkin ibu bapa saya larat lagi untukbuat semua kerja itu. Lagipun….sepatutnya sayalah yan perlu lakukan semua itu. Itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang anak. Sewaktu saya kecil ibu dan bapa ak pernah mengeluh melakukan semua kerja termasuklah kerja-kerja rumah asalakan boleh mendatangkan keselesaaan dalam kehidupan saya dan adik-beradik.
Saya melihat semula ke arah pak cik tua tadi. Semakin sayu hati saya apabila melihat dia duduk makan seorang diri di kawasan meja yang hujung dan jauh daripada para pelanggan yang lain.  Saya melihatnya hinggalah dia habis makan. Dia bangun perlahan-lahan dan lihat dari cara jalannya terus saya boleh tahu bahawa kakinya sakit. Mungkin kerana sakit tua. Dia pergi membayar di kaunter kemudian terus dia berjalan keluar dari kedai mamak itu (saya memang mahu bayarkan untuk pak cik itu, tapi tak sempat… L). Sebaik saja kelibat pak cik itu hilang, terus saya telefon ibu dan bapa tanyakan itu dan ini. Dan hati saya sungguh sedih apabila mendengar suara mereka. Tertahan-tahan air mata saya daripada mengalir sewaktu bercakap dengan mereka. Apabila air mata sudah hampir tumpah, saya cepat-cepat putuskan talian kerana tidak mahu mereka mendengar nada suara saya yang berubah kerana menahan tangis.
          Di saat saya menulis coretan ini, saya menangis seorang diri terbayangkan wajah ibu dan bapa saya. Air mata saya mengalir laju tanpa henti. Hati saya sungguh sedih mengenangkan sekali lagi saya terpaksa berjauhan dengan mereka. Ibu bapa saya hanya tinggal berdua di kampung jauh nun di  sana. Adik-beradik saya yang lain ada yang telah berkahwin dan ada juga yang terpaksa bertugas di tempat lain. Mereka jarang pulang ke kampung. Jadi…saya yang waktu itu menemani ibu bapa saya faham benar perasaan mereka apabila anak-anak tidak datang menjengk mereka. Saya tidak mahu menjadi seperti itu. Tapi, memadangkan saya terpaksa bekerja pada hari Sabtu, menambahkan lagi pilu di hati ini. Barangkali saya akan tergolong dalam golongan mereka yang pulang ke kampung setahun sekali…IIaitu hanya pada Hari Raya saja.
Ramai yang katakana saya anak manja kerana asyik mahu berkepit dengan ibu bapa saja. Tapi, sedarkah mereka, bukan selama-lamanya saya boleh berkepit dan bermanja dengan mereka. Jika mereka mahu berseronok dan mahu bekerja jauh dari ibu bapa mereka, dipersilakan. Tapi, tolong jangan samakan saya dengan mereka. Terlalu banyak tangisan, kekeciwaan, penyesalan dan kisah sedih yang telah saya hadapai sewaktu zaman belajar saya. Jadi, wajiblah bagi saya untuk berasa takut dan sedih. Bagaimana kalau perkara itu terjadi pada saya? Entahlah….saya sendiri tidak ada jawapannya sekarang ini.
Saya betul-betul cemburu dengan mereka yang dapat bekerja tapi dapat duduk sekali dengan ibu bapa mereka. Alangkah bertuahnya mereka semua itu. Oleh itu, jika ada mereka yang berkesempatan membaca luahan rasa hati ini, saya mohon agar doakan agar saya dapat bekerja di tempat yang berdekatan dengan ibu bapa saya sementara kami masih bernafas di muka Bumi ini. Mohon agar Allah murahkan rezeki saya….Insya-Allah….

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 bila debab menconteng.... Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemesfree