Tuesday, March 29, 2011

ZIKRULLAH....

SAYA mendengar lagu alunan Maher Zain sambil mulut buat-buat tahu menyanyi lagu beliau. Bila part chorus jelah saya ikut, part lain saya humming saja. Saya sangat sukakan alunan nasyid beliau kerana bait-bait liriknya amatlah berinspirasi dan terselit nasihat yang sangat berguna.
            Saya bukanlah pendengar nasyid yang tegar. Hanya dulu-dulu saja waktu zaman Raihan dan Nowseeheart sedang mencipta nama, saat  itulah saya mula berjinak-jinak dengan nasyid. Hanya dua kumpulan ini saja yang saya suka. Kumpulan nasyid yang lain hanya sesetengah nasyid mereka saja saya dengar. Dan sampai sekarang pun saya masih lagi mendengar alunan nasyid dari kedua-dua kumpulan ini. Kini, ada pula Maher Zain. Hampir setiap hari jugaklah saya memainkan nasyid alunan beliau. Baik di ‘lappy’ ataupun MP3.
            Dan semalam, sedang saya bernasyid sekali dengan Maher Zain iaitu nasyid beliau “Alhamdulillah…Alhamdulillah…All praises to Allah….~” saya berhenti lantas berfikir sejenak. Saya katakan pada diri saya, berapa kali saya berzikir memuji Allah? Sebelum kemunculan Maher Zain, dan kalau pada hari itu saya tak dengar nasyid daripada kumpulan Raihan dan Nowseeheart, agaknya berapa kali sangatlah saya berzikir kepada Allah? Selain daripada menunaikan solat, dan zikir selepas solat, ada tak waktu-waktu lain yang saya berzikir kepada Allah? Lama saya termenung lalu saya menghembuskan nafas dengan berat. Jawapannya amatlah menyedihkan kerana tersangat sikit saya memuji dan mengucapkan syukur kepada Allah.
            Kemudian saya kembali berfikir, kalau saya tak berzikir kepada Allah, apa yang saya lakukan? Dan jawapnnya juga turut menyedihkan…. Banyak perkara ‘lagho’ yang telah saya isikan waktu ada kelapangan. Dan saya memberitahu perkara ini kepada salah seorang sahabat saya. Masing-masing berbincang tentang perkara ini. Dan akhirnya dia nasihatkan kepada saya agar mula berzikir perlahan-lahan jika ada kelapangan. Contohnya sewaktu sedang memakai baju. Sewaktu sedang keluar dari rumah. Sewaktu sedang berjalan seorang diri. Katanya lagi, biarpun sikit kita berzikir, tapi pahala tetap ada. Mula-mula akan sikit, tap bila dah jadi amalan, InsyaAllah….mudah-mudahan amalan kita akan mendapat keberkatan dan pahala dari Allah. Dan kita juga akan lebih kerap berzikir
            Dan pada pagi ini saya cuba praktikkan seperti apa yang telah disarankan oleh kawan saya. Dan keputusannya……amatlah…PAYAH! Disebabkan saya tak jadikan zikir sebagai amalan maka untuk mengamalkannya pada hari ini menjadi perkara yang berat buat diri saya. Selama ni kalau kita pergi ceramah agama di mana-aman pasti ada penceramah yang nasihatkan kita, “Zikir kepada Allah!” “Ingat kepada Allah dengan berzikir kepadaNya!” “Sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah!” “Jangan lupa zikir kepada Allah dalam kehidupan kita ni!”
            Cakap memang mudah bukan? Tapi mahu memulakannya atau melakukannya memerlukan semangat yang tinggi di samping kesungguhan yang berterusan. Alhamdulillah…walaupun hari ini amalan berzikir saya masih lagi di paras negatif, insyaAllah esok dan juga hari-hari yang mendatang(jika umur saya masih panjang..) saya akan cuba gandakan amalan dan usaha.
            Dan eloklah kita mulakan dari sekarang. Bagi ada yang fikir sudah terlambat, jangan begitu. Lebih baik terlambat daripada tak mula langsung. Lagipun hari ini saya ada terasa perubahan dalam hidup saya. Biarpun bermacam-macam masalah yang saya alami pada hari ini, tapi saya lebih tenang dan cool dalam menghadapinya. Tak seperti selalu kepala saya sentiasa berserabut fikirkan tentang maslah yang berselirat.
            Dan cara yang paling senang untuk memulakannya adalah dengan mendengar nasyid-nasyid yang berbentuk zikir. Seperti nayid Munif Hijjaz album Penawar Hati, ataupun Raihan album the Spirit of Selawat. Sambil kita mendengar sambil mulut kita juga turut berzikir bersama-sama. Insya Allah….itu adalah permulaan. Dan jika kita dah selalu mendengarnya, dan selalu bermain di fikiran kita, secara tak langsung kita sendiri akan berzikir di waktu-waktu yang lain tanpa kita sedari.
            Selain dari itu rajin-rajinkanlah diri (lebih-lebih lagi diri saya) untuk cari-cari di internet tentang kebaikan berzikir dan berselawat. Subahanallah…..hikmah di sebalik berzikir dan berselawat tak dapat di ucapkan dengan kata-kata. Selain itu rajinkan diri untuk membaca bahan-bahan ilmiah tentang kebaikan dan kelebihan berzikir dan berselawat supaya dapat menggalakkan lagi diri kita untuk selalu mengingati Allah.
Allah S.W.T berfirman :
Dan orang-orang lelaki yang banyak menyebut ( mengingati ) Allah dan orang-orang perempuan yang banyak menyebut Allah, maka Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan ganjaran pahala yang besar.”
( al-Ahzab ayat 35 )

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 bila debab menconteng.... Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemesfree