Saturday, April 9, 2011

Pertandingan Menulis Cerpen KEN Group



TERATIH
DERAP kaki yang didengari dari jauh membuatkan keturunan Adiwancana Emas, Pridamia Perak, Ulung Gangsa, Delima Kilau, Delima Sinar dan Delima Pancar diam daripada berhujah. Gua rahsia yang sejak daripada awalnya hingar-bingar kerana suara mereka berdebat terus sunyi sepi apabila kedatangan insan yang disanjung telah pun tiba.
            Firhan Ajid Umara’ ketua bagi keturunan Adiwancana Emas merangkap ketua bagi semua keturunan di situ yang wujud sejak berdekad lamanya segera berlutut memohon sembah apabila melihat kelibat Permaisuri Teratai Putih semakin jelas. Mereka yang lain segera mencontohi ketua bagi segala keturunan itu. Berlutut sambil memohon sembah, patuh kepada Permaisuri Teratai Putih.
            “Sembah dari kami buat Permaisuri Teratai Putih.” Tegas suara Firhan Ajid Umara’.
            “Sembah diterima. Beralihlah kalian semua ke tempat asal.” Ujar Permaisuri Teratai Putih lembut.
            “Menjunjung kasih Tuanku Permaisuri!” Jawab mereka semua serentak menyebabkan gua yang hanya disinari cahaya dari api itu bergema.
            “Mohon sembah Tuanku Permaisuri.” Firhan Ajid Umara’ meminta izin.
            “Silakan wahai Ketua Adiwancana.” Ujar Permaisuri Teratai Putih lembut.
            “Hari ini, merupakan hari yang bersejarah kerana zaman kegemilangan Raja Khairun Al-Amri akan berakhir. Dan yang paling membanggakan apabila kejatuhan itu akan dilakukan sendiri oleh Tuanku Permaisuri. Patik percaya, Allahyarham Raja Wirdad pasti akan berbangga dengan Tuanku Permaisuri.”
            Para pengikut yang bersumpah setia ke atas Permaisuri Teratai Putih mengangguk-angguk setuju. Dan setiap ketua bagi keturunan masing-masing tersenyum sambil ketawa gembira apabila memikirkan kehancuran Raja Khairun Al-Amri.
            Permaisuri Teratai Putih tidak terdaya untuk ketawa seperti pengikutnya yang lain. Permaisuri cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya daripada diketahui oleh mereka.
            “Tuanku Permaisuri? Mengapakah wajah Tuanku Permaisuri begitu suram? Apakah ada sesuatu yang mengganggu fikirannya Tuanku Permaisuri?” Soal Krissatima Tujah ketua bagi keturunan Delima Sinar.
            Para pengikut dan pemimpin keturunan yang lain terus terdiam. Masing-masing segera mengalihkan pandangan ke arah Permaisuri Teratai Putih.
            “Patik bersetuju dengan Ketua Delima Sinar. Mendung sungguh wajah Tuanku Permaisuri. Keadaan Tuanku Permaisuri ini amat menggusarkan hati patik sekalian.” Sampuk Petra Bayu Gah yang menjadi ketua bagi Primadia Perak.
            Permaisuri Teratai Putih hanya mendiamkan diri. Baginda tidak mengangguk mahupun menggeleng. Ditatap setiap wajah yang berada di hadapannya satu persatu. Wajah yang telah bersumpah akan setia dan rela mengorbankan nyawa untuk dirinya. Kesemua mereka adalah lahir daripada keturunan yang telah lama wujud sejak daripada pemerintahan nendanya. Dan diri permaisuri sendiri membesar dengan keturunan mereka semua.
            Sebab itu hatinya berbelah-bagi. Jiwanya resah-gelisah. Fikirannya kacau-bilau. Dirinya perlu menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan sementara hatinya pula tidak merelakan. Membunuh Raja yang sedang memerintah Kerajaan Teratih iaitu suaminya sendiri merupakan tugas yang sangat berat.
            Memang pada awalnya permaisuri sendiri berkobar-kobar untuk membalas dendam di atas kematian ayahandanya yang telah dibunuh oleh ayahanda Raja Khairan Al-Amri. Kerana merebutkan takhta, perang yang terjadi telah mengorbankan ayahandanya. Dan rata-rata pengikut setia ayahandanya juga telah dibunuh. Sebahagian pengikut setia yang lain sempat menyelamatkan diri. Dirinya juga turut terselamat bersama-sama dengan bonda tercinta.
            Umurnya waktu itu belum pun mencapai awal belasan tahun. Masih kecil untuk berfikir, tetapi mudah fikirannya untuk diracuni. Dirinya dibesarkan oleh mereka yang kini berada dihadapannya. Ditanam dalam fikirannya tentang keburukan dan kejahatan yang telah dilakukan oleh Allahyarham Raja Triban Al-Amri, ayahandanya Raja Khairan Al-Amri. Dan hampir dua dekad lamanya mereka membuat rancangan untuk membalas dendam ke atas keturunan Raja Triban Al-Amri. Dan salah satu daripada rancangan tersebut adalah dirinya mengahwini Raja Khairan Al-Amri.
            Setelah mendalami diri Raja Khairan Al-Amri, akhirnya baginda telah memilih dirinya sebagai permaisuri. Biarpun mendapat tentangan hebat daripada pembesar-pembesar istana, tetapi kerana hati dan mata baginda telah dibutakan oleh cintanya, dirinya tetap sah juga menjadi permaisuri hingga sekarang.
            Daripada awal dirinya berpura-pura mencintai Raja Khairan Al-Amri hinggalah semakin hari semakin lama dia berada di sisi baginda, tanpa sedar perasaan cintanya telah menjadi nyata. Layanan dan belaian kasih daripada baginda sungguh ikhlas pada matanya. Dia juga dapat melihat cinta baginda yang mendalam terhadap dirinya. Mungkin disebabkan itu, permaisuri sendiri tenggelam dalam permainan cintanya. Dan perasaan kasih dan sayang pada baginda bertambah mendalam apabila lahirnya putera mereka yang pertama, Putera Wirana Al-Amri.
            Biarpun begitu, dirinya tidak pernah sekali pun memberitahu pengikut rahsianya tentang perasaan cinta yang dipendam. Permaisuri menjalankan tanggungjawab dan peranannya seperti biasa. Dihadapan baginda dia mencurahkan segala kasih dan cinta, di hadapan pengikutnya dia memainkan peranan sebagai ketua mereka. Sebagai seseorang yang akan membawa keadilan bagi mereka semua.
 “Tuanku Permaisuri? Mengapakah Tuanku Permaisuri diam sahaja?” Soal Dewi Angsana pula satu-satunya ketua dari kaum Hawa yang memimpin keturunan Ulung Gangsa.
Firhan Ajid Umara’ bingkas bangun dari silanya. Dia berdiri bertentang dengan Permaisuri Teratai Putih.
“Tuanku Permaisuri!” Lantang dia bersuara. “Janganlah Tuanku Permaisuri menyatakan bahawa hati Tuanku Permaisuri sudah berubah! Berdekad lamanya patik semua merancang agar hutang dibalas. Dan akhirnya, hari yang ditunggu telah tiba! Janganlah hendaknya Tuanku Permaisuri menggagalkannya.”
 “Benarkah?” Dewi Angsana pula bangun berperlahan-lahan dari silanya. “Benarkah seperti apa yang dituturkan oleh Ketua Adiwancana Emas itu wahai Tuanku Permaisuri?”
Diamnya Permaisuri Teratai Putih menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan pengikutnya. Wajah Firha Ajid Umara’ sudah berubah menjadi merah menyala. Nafasnya sesak kerana menahan marah.
“Anakanda Permaisuri Teratai Putih.” Panggil satu suara tiba-tiba.
Mereka membuntangkan mata apabila melihat Permaisuri Alam Seri Baiduri diiringi oleh Anggun Gerhana pengikut setia permaisuri berjalan menghampiri mereka. Permaisuri Teratai Putih cepat-cepat mendapatkan bondanya. Dirinya dan para pengikut yang lain sembah hormat kepada bondanya.
“Sembah diterima.” Ujarnya perlahan tetapi tegas. “Sekarang tinggalkan beta bersama Permaisuri Teratai Putih.”
Mereka yang lain hanya mengikut perintah. Permaisuri Alam Seri Baiduri menyentuh lembut pipi anakandanya. “Hati bonda ini dapat merasakan bahawa anakanda tidak sanggup untuk menjalankan tugas yang telah diberikan.” Baginda diam sebentar kemudian membelakangkan anakandanya. “Jikalau begitu, biarlah bonda yang membawa tugasan itu.”
“Bonda!” Permaisuri Teratai Putih tersentak dengan pengakuan bondanya.
Permaisuri Alam Seri Baiduri masih lagi tidak berganjak daripada tempatnya. “Jikalau begitu, siapa lagi yang akan menuntut bela di atas kematian Raja Wirdad? Dan siapa pula yang akan menuntut keadilan bagi rakyat jelata kita yang telah dibunuh oleh Raja Triban Al-Amri yang kejam itu? Bonda tidak mahu anakanda berasa terseksa dengan amanat ini. Biarlah bonda yang melakukannya demi Raja Wirdad dan rakyat yang telah terkorban. Dan juga bagi mereka yang telah melindungi bonda dan anakanda. Mereka yang bersama-sama dengan kita dari awal hingga ke hari ini!”
Sepantas kilat Permaisuri Teratai Putih berlutut kepada bondanya. “Ampunkan anakanda wahai bonda kerana tidak pernah menghargai perasaan bonda. Anakanda ini yang derhaka tidak pernah berfikir betapa seksanya hidup bonda setiap hari apabila kehilangan ayahanda dan kerajaan yang telah dibina. Khilaf anakanda juga tidak peka dengan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh para pengikut kita yang setia.
Dengan ini, anakanda sembahkan janji kepada bonda dan para pengikut yang lain bahawa anakanda akan menjalankan amanat yang telah diberikan.”
Permaisuri Seri Alam Baiduri tersenyum nipis tanpa dilihat oleh anakandanya. Dia memusingkan badannya dan terus menyembunyikan senyumannya. “Benarkah anakanda sanggup menjalankan tugasan yang telah diberikan?” Perlahan baginda bertanya tetapi pandangannya tajam dihalakan kepada Permaisuri Teratai Putih.
Permaisuri Teratai putih mengangguk perlahan biarpun dalam hati menidakkannya.
“Gerhana!” Panggil Permaisuri Seri Alam Baiduri.
Gerhana Anggun muncul entah dari mana secara tiba-tiba. “Mohon sembah tuanku permaisuri.”
Permaisuri Seri Alam Baiduri hanya mengangguk. Dia menghulurkan tangan kepada Anggun Gerhana. Anggun Gerhana yang faham terus mengeluarkan sebotol kaca sebesar ibu jari tangannya kepada baginda. Permaisuri Seri Alam Baiduri mengambil botol itu lalu dihulurkan kepada anakandanya. Permaisuri Teratai Putih mengambil botol itu lalu menggoncang perlahan menyebabkan cecair di dalam botol itu bergoncang-goncang.
“Sekarang…” Permaisuri Seri Alam Baiduri memegang tangan kiri anakandanya. “Anakanda bakal menegakkan keadilan bagi Allahyarham ayahanda dan juga bagi rakyat jelata yang pernah berada di bawah naungan kerajaan kita dahulu sama ada yang masih hidup atau pun yang telah tiada.”
SAMBUTAN ulang tahun pertama puteranya diadakan dengan gilang gemilang. Suasana begitu meriah dengan gelak tawa daripada mereka yang terdiri daripada golongan bangsawan mahupun bawahan.
            “Adinda?”
            Permaisuri Teratai putih menoleh. Tuanku Permaisuri tersenyum nipis melihat baginda.
            “Mengapa adinda kelihatan tidak gembira?” Soal Raja Khairan Al-Amri. “Adinda tidak sihatkah?”
            Pantas Permaisuri Teratai Putih menggeleng. “Adinda cuma letih kakanda.” Raja Khairan Al-Amri pantas memeluk tubuh permaisurinya yang tercinta. Dikucup lembut pipi Permaisuri Teratai Putih dengan penuh kasih.
            “Jikalau begitu, adinda berehatlah sebentar. Biarlah kakanda saja yang menemani para tetamu. Nanti apabila adinda sudah bersedia, bolehlah menyertai kakanda di luar nanti.”
            Permaisuri Teratai Putih hanya mengangguk sambil tersenyum lemah. Raja Khairan Al-Amri terus berjalan meninggalkan permaisurinya. Beberapa saat selepas itu, masuk dayang istana ke dalam kamar permaisuri sambil menatang sebuah dulang berisikan semangkuk sup kegemaran Raja Khairan Al-Amri. Permaisuri hanya menghembus nafas dengan berat. Baginda mengeluarkan botol yang telah diberikan oleh bondanya lalu dituang tiga titis cecair itu ke dalam mangkuk itu. Dayang istana itu hanya mengangguk lalu terus beredar daripada situ.
            Tidak lama selepas itu, terdengar kekecohan dari luar. Permaisuri Teratai Putih hanya menggigit bibir sambil menitiskan air mata. Dia hanya berdiri di situ menunggu pengawal untuk mengkhabarkan berita yang dirinya sudah pun tahu lebih awal.
 QIRAN ALI hanya menggelengkan kepala kepada Permaisuri Teratai Putih. “Mohon ampun tuanku. Patik telah mencuba sedaya upaya, tapi ternyata diri patik yang lemah ini tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Hukumlah patik tuanku kerana gagal menyembuhkan baginda Raja Khairan Al-Amri.”
            Raja Khairan Al-Amri yang sedang tenat memaksa diri untuk tersenyum. “Janganlah berkeras dengan diri wahai Qiran Ali. Sudah ditetapkan hidup beta hanya setakat ini. Tidak perlulah menyalahkan diri.”
            Qiran Ali segera tunduk kepada Raja Khairan Al-Amri. Raja yang adil, baik hati dan pemurah. Baginda sama sekali tidak menyerupai Allahyarham ayahandanya.
            “Tinggalkan beta berdua dengan permaisuri.” Tersekat-sekat suara Raja Khairan Al-Amri memberi titah.
            Qiran Ali segera menjunjung titah. Dia berlalu keluar dari kamar itu bersama-sama dengan dua orang pengawal dan empat orang dayang.
            Raja Khairan Al-Amri menyentuh lembut tangan permaisuri tercinta. Dikesat air mata yang mengalir sambil berusaha meghadiahkan sebuah senyuman kepada permaisurinya.
            “Maafkan kakanda adinda.”
            Permaisuri Teratai Putih mengerutkan dahi. “Kakanda, mengapa meminta maaf?”
            “Maafkan kakanda wahai Puteri Warissa Dahlia, puteri kepada Allahyarham Raja Wirda dan juga Permaisuri Seri Alam Baiduri.”
            Alangkah terkejutnya Permaisuri Teratai Putih apabila mendengar nama itu. Sudah lama dia tidak mendengar nama itu disebut. Nama asalanya sebelum ditukar kepada Teratai Putih.
            “Kakanda tahu?”
            Raja Khairan Al-Amri mengangguk.
            “Sejak bila?”
            “Sebelum adinda menjadi permaisuri lagi.”
            “Mengapa? Kalau kakanda sudah tahu, kenapa tidak dihukum saja adinda?”
            “Kerana adinda bukan saja permaisuri bagi Kerajaan Teratih, tetapi juga permaisuri di hati kakanda. Kakanda sangat mencintai adinda. Dan kakanda mahu adinda tahu bahawa, kakanda tidak menyesal untuk mati asalkan kakanda mati di tangan adinda.”
            Semakin deras air mata Permaisuri Teratai putih mengalir. Tangannya yang sedang menggenggam tangan Raja Khairan Al-Amri juga semakin erat. “Sepatutnya adindalah yang perlu memohon ampun daripada kakanda.” Ujarnya teresak-esak.
            Raja Khiaran Al-Amri menggeleng lemah. “Kakanda tahu kenapa adinda perlu lakukan perkara ini. Semua ini tidak akan terjadi kalau Allahyarham ayahanda tidak melakukan perkara yang kejam ke atas keluarga dan rakyat adinda dahulu. Biarlah kakanda saja yang menanggung semua beban dan kesalahan yang telah dilakukannya. Cuma, kakanda ingin bertanya sesuatu. Adakah adinda mencintai kakanda? Pernahkah perasaan cinta pada kakanda muncul dalam hati adinda biarpun sesaat?”
            Permaisuri Teratai Putih mencium dahi Raja Khairan Al-Amri. “Ketahuilah bahawa perasaan cinta adinda kepada kakanda semakin hari semakin mendalam. Dan malangnya bagi kakanda kerana dicintai oleh manusia seperti adinda. Sesungguhnya, kakanda berhak dicintai oleh orang lain yang lebih mulia hatinya daripada adinda.”
            Raja Khairan Al-Amri tersenyum. “Dicintai adinda adalah perkara yang paling menggembirakan bagi kakanda. Adinda….”
            “Ya kakanda?”
            “Kakanda tukarkan nama Kerajaan Bahtera Kayangan kepada Kerajaan Teratih bersempena dengan nama adinda iaitu Teratai Putih. Kanda mahu adinda tahu bahawa cinta kakanda akan terus mekar kepada adinda biarpun kakanda telah tiada. Selagi kerajaan ini masih hidup, selagi itulah cinta kakanda masih wujud. Oleh itu, berjanjilah bahawa adinda akan terus mempertahankan kerjaan ini. Didiklah putera kita supaya menjaga kerjaan ini hingga akhir keturunan kita. Kerana kerajaan ini adalah lambang cinta kakanda kepada adinda.”
            Pilu hati Permaisuri Teratai Putih. Air matanya merembes keluar bagaikan empangan pecah. Raja Khairan Al-Amri menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu dalam pelukan permaisuri tercinta. Permaisuri Teratai Putih menghadiahkan ciuman terkahir di pipi baginda berserta dengan air mata yang akhirnya menjadi teman setianya sejak daripada peristiwa hitam itu hingga ke akhir hayatnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 bila debab menconteng.... Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemesfree