Tuesday, February 8, 2011

KISAHNYA CINTA DAN TAKDIR

LAMPU isyarat yang telah bertukar daripada warna kuning kepada merah memaksa Imran memberhentikan keretanya. Dia mengeluh kecil lantas mengerling jam kecil di keretanya. Sudah pukul 5.10 petang. Dia berjanji dengan Ain ingin berjumpa pada pukul 5.30 petang. Mintak-mintaklah sempat. Kalau dia terlewat sampai, bermakna dia telah menempah maut. Mahu sahaja nanti Ain membuka langkah silat cekaknya nanti.
            Imran mengalihkan pandangan ke arah luar tingkap. Hujan yang turun dengan lebat membuatkan pemandangan di luar keretanya menjadi kabur. Seketika dia tersenyum sendirian apabila memikirkan perbualannya dengan Ain suatu ketika dahulu.
            “Ala…hujanlah pulak. Ni yang leceh ni,” keluhnya sebaik sahaja keluar daripada kelas. Beg yang digalas dibetulkan keadaannya sementara beberapa buah buku di tangan diperkemaskan lagi pegangannya.
            “Aku suka hujan-hujan macam ni. Kalau lagi lebat, lagi bagus!” ujar Ain di sebelahnya sambil tersenyum girang.
            “Huh? Apa yang kau seronok sangat hujan-hujan macam ni? Kau tengok orang lain, semuanya dah mengeluh sebab hujan,” Imran menundingkan jari ke arah para pelajar lain yang turut mempamerkan reaksi yang sama sepertinya.
            Ain tidak mempedulikan kata-kata Imran tadi. “Hujanlah best! Sedap sikit aku nak tidur petang ni,” balasnya sambil ketawa. Kemudian, dia terus meluru ke arah hujan lebat itu sambil bersorak gembira. Imran yang sungguh terkejut dengan perbuatannya membuntangkan mata.
            “Oi! Gila ke?” jeritnya pada Ain yang sedang menari-nari di dalam hujan tanpa mempedulikan pandangan orang lain ke arahnya.
            “Yuhuuu!!!! Wei, cepatlah Im! Best nih. Rugi tak join aku,” jeritnya pula sambil melambai-lambaikan tangannya kepada Imran.
            Ain terus menari dengan galaknya.Jeritan Imran yang bertalu-talu menyuruhnya supaya kembali ke tempat teduhan tadi tidak diendahkannya. Imran yang melihat hanya melepaskan keluhan kasar. Tanpa banyak pilihan, dia pun terus mengikuti jejak langkah Ain. Kini, dia dan Ain telah pun bersama-sama bermain hujan. Mereka berlari-lari di dalam hujan sambil menuju ke arah rumah masing-masing dengan gelak tawa. Perasaan gembira menghiasai jelas terpancar di wajah mereka.
            Tanpa sedar Imran tersengih sendirian di dalam kereta apabila terkenang kembali saat-saat indah itu bersama Ain. Hai…aku pun dah jadi gila sekali macam Ain. Ain….adalah gadis pertama yang dicintainya sejak dari dulu lagi. Mereka telah membesar bersama-sama dan hampir setiap masa mereka dihabiskan berdua. Bayangkanlah sejak daripada kecil dia telah mengenali gadis itu. Mana mngkin dia tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap gadis itu.
            Puas ditahan perasaannya kerana dia ingin menjadi lelaki yang berguna kepada Ain. Ini kerana sebaik sahaja mereka berdua telah tamat Tingkatan Lima, Ain dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti manakala dirinya pula terkandas. Dia terpaksa akur hanya dengan duduk di kampung dan bekerja di kedai baiki kereta milik Abu sahaja. Dia terasa dirinya begitu kerdil jika hendak dibandingkan dengan Ain. Dirinya malu untuk meluahkan rasa cinta pada gadis itu kerana dirinya umpama pungguk manakala Ain pula adalah bulan yang sentiasa menyerlah.
            Oleh kerana perasaan cintanya yang mendalam, dia telah nekad untuk berusaha menjadi seorang lelaki yang berjaya. Walaupun Ain tidak pernah walau sekali pun memandang rendah terhadapnya, namun, baginya dia perlu melakukan sesuatu jikalau ingin memiliki gadis itu. Dia tahu Ain bukan wanita yang memandang kepada harta dan pangkat, tetapi dirinya yang dirasakan perlu untuk berubah menjadi lebih baik lagi jika ingin memiliki wanita yang hampir sempurna seperti Ain.
            Hari ini, buat pertama kalinya dia akan meluahkan perasaannya pada Ain. Imran mengeluarkan sebuah kotak baldu berwarna hitam dari kocek seluarnya. Dibuka kotak baldu itu dan di lihatnya sebentuk cincin bertakhtakan berlian. Dia tersenyum memandangnya. Dia telah pun meminta kebenaran kedua ibu bapa Ain untuk menjadikan Ain sebagai suri dalam hidupnya. Dan kedua mereka tidak empunyai sebarang masalah asalkan Ain bersetuju. Dan dia berharap Ain akan bersetuju. Kerana setahunya, Ain masih lagi tidak mempunyai teman ustimewa. Mungkinkah Ain juga berperasaan sepertinya? Kerana kadang-kadang dapat dilihat pandangan Ain apabila memandangnya adalah sama apabila dia memandang gadis itu. Pandangan yang mempunyai maksud cinta dan sayang. Entahlah…mungkin hanya perasaannya sahaja tak? Apa-apa pun hari ini dia akan mendapat keputusannya.
            Imran cepat-cepat memasukkan semula kotak baldu tu ke dalam koceknya. Di tunggu dengan sabar untuk lampu isyarat bertukar kembali kepada warna hijau. Selepas beberapa saat, warna hijau pun menyala. Pantas tangannya menurunkan hand break dan gear pun ditukar daripada N kepada D.
            Terus keretanya meluncur dan……
            BOOOMMM!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
            Ya Allah!!!!! Apa dah jadi ni? Stereng di tangan berpusing-pusing entah ke mana hala tujunya dia sendiri tidak pasti. Tapi dia tahu keretanya telah melanggar sesuatu dengan dengan kuat dan kahirnya tersadai di situ. Kepalanya dirasakan basah kerana darah merah yang sedang mengalir. Kepalanya terasa sakit yang amat. Pantas tangannya menyeluk kembali saku seluar dan membawa keluar kotak baldu hitam tadi. Ain…..perlahan sahaja nama itu disebut. Bibirnya mengucap kalimah syahadah secara perlahan-lahan. Kemudian pandangannya yang kabur perlahan-lahan bertukar menjadi gelap gelita!

“KENAPA kau nak kerja jauh-jauh ni? Kalau kerja kat sini kan senang? Kalau aku ada cuti sem, balik sini terus boleh jumpa kau. Tapi, kalau kau dah kerja kat Johor nun, macam mana nak jumpa?” Rungut Ain apabila Imran menyatakan hasratnya untuk bekerja di Johor.
            “Ala…bukannya jauh sangat pun Johor tu. Kalau nak jumpa….”
            “Tak jauh kau kata? Kedah ni utara, Johor tu selatan. Macam manalah kau boleh kata tak jauh? Geografi kau dulu dapat apa?” Ain memotong kata-kata Imran. Dia merengus kasar. Panjang muncungnya mengalahkan paruh ayam.
            “Ala…aku pergi bukannya lama. Nanti dah berjaya nanti, aku dah jadi kaya, aku jumpalah kau balik,” Imran cuba memujuk.
            “Kenapa kau beria-ia sangat nak jadi kaya ni? Pelik aku!” Ain bertanya sambil emmandang wajah Imran.
            “Sebab apa lagi? Sebab nak pinag kaulah!” lancar sahaja Imran memberikan jawpaannya. Entah mengapa dia begitu berani meluahkan isi hatinya. Walaupun dia hanya tersengih memberikan jawapan, dan mukanya tidak menampakkan kesungguhan dan suaranya tidaklah serius mana, tapi, memang itulah niatnya yang sebenar. Sungguh! Dia tak tipu! Memang dia nak pinang Ain!
            Darah terus menyerbu ke muka Ain. Perasaan malu yang menerjah diri terpaksa disembunyikan. Sedaya upaya dia cuba mengawal riak muka agar tidak ketara malunya apabila mendengar jawapan Imran tadi.
            “Jangan main-mainlah…Debik kang!” balasnya walaupun dalam hati gembira bukan main lagi.
            “Eh, apa pulak main-main. Kau tu dahlah ada degree. Dalam bidang akauntan pulak tu. Kalau aku nak minang kau nanti, aku mestilah jadi seorang lelaki yang mempunyai kemampuan untuk jadikan kau milik aku. Takkanlah aku nak minang perempuan macam kau, tapi aku masih lagi jadi pomen kat kedai Abu tu. Kalau aku yang jadi taukenya takpelah jugak Ini tidak, makan gaji je. Tak gitu?” Imran tersenyum nakal.
            Air matanya pantas mengalir apabila mengenangkan kembali saat itu. Kau tipu aku Imran. Kau cakap nak pinang aku, tapi…..…Kau tahu tak betapa gembira dan terujanya aku bila dengar kata-kata kau hari tu? Bila aku dengar kau nak pinang aku, hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya hati aku di saat itu. Kenapa tidak pernah sekali pun kau ucapkan kata-kata cinta? Takkanlah nak kena aku yang cakap dulu, lepas tu baru kau pulak nak cakap? Aku kan perempuan…mestilah aku nak orang lelaki dulu yang luahkan perasannya. Kau tak tahu ke yang selama ni aku cintakan kau?
            Air mata mengalir semakin deras. Dibiarkan sahaja air mata itu menyimbah ke Bumi. Surah Yasin di tangan di simpan semula ke dalam beg yang di bawa setelah selesai membacanya. Perlahan-lahan dia bangun lalu berlalu meninggalkan perkarangan perkuburan di mana tempat bersemadinya Imran pada ketika ini…..

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 bila debab menconteng.... Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemesfree